HIBURAN LUAR: ANCAM JATI DIRI REMAJA?
Menyentuh isu remaja banyak perkara yang boleh diutarakan. Topik ini sering menjadi pilihan kerana merekalah yang bakal menjadi pelapis negara. Segala tingkah laku menjadi perhatian. Antara yang menarik perhatian ialah hiburan di kalangan remaja. Remaja dan hiburan amat berkait rapat. Tidak 'lengkap rasanya aktiviti di luar jika tiada hiburan. Pengaruhnya kuat sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan masa sehari suntuk di pusat hiburan. Ada juga yang tidak kisah untuk berdiri berjam-jam lamanya demi menyaksikan konsert artis pujaan.
Senario ini semakin mendapat perhatian, banyak pandangan dan pendapat yang dikeluarkan di akhbar-akhbar utama membincangkan kesan hiburan ini kepada jati diri remaja. Adakah jati diri seorang remaja Melayu terhakis disebabkan oleh pengaruh hiburan yang melampau?
Dalam Islam, tidak salah untk berhibur kerana Islam sendiri tidak pernah menolak kehadiran unsur hiburan dalam masyarakat. Malahan, pada zaman nabi wujud unsur-unsur hiburan dalam majlis keramaian atau perkahwinan. Bezanya, pada waktu itu, unsur hiburan mempunyai batasan dan sempadan. Baginda Rasulullah SAW sendiri bertindak sebagai lembaga penapisan dan penilaian seni agar unsur hiburan itu tidak seleweng daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Hiburan luar di kalangan remaja adalah satu kegiatan semata-mata untuk berhibur, berseronok atau bergembira di luar pengaruh atau kawalan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa mungkin memberikan keizinan untuk mereka melakukan kegiatan di luar, tetapi ia dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan tanpa kawalan oleh mereka yang bertanggungjawab.
Hiburan yang mengancam jati diri remaja ialah kesemua hiburan yang bercanggah dengan agama. Hiburan yang melalaikan. Hiburan yang membenarkan perhubungan tanpa batasan dan tanpa kawalan. Ia menghilangkan sifat-sifat Melayu yang sepatutnya.
Remaja seharusnya tahu menghormati orang tua, bersopan-santun, berani, beradab, lemah lembut dan tahu asal-usulnya. Seluruh kehidupannya berpaksi kepada ajaran Islam.
Melihatkan kepada apa yang berlaku kini walaupun tidak semua, tetapi ada yang telah kehilangan jati diri remaja yang sebenar. Banyak faktor yang membentuk suasana ini. Tetapi antara puncanya ialah hiburan yang melampau, tiada batasan dan sekatan.
PUNCA PENGARUH HIBURAN
Tingkah laku remaja ini didorong oleh beberapa sebab. Antaranya ialah kesunyian. Kesunyian mendorong remaja menghabiskan masa di luar rumah. Ini berlaku kepada keluarga yang mempunyai ibu bapa yang terlalu menumpukan perhatian kepada pekerjaan sehingga mengabaikan masa bersama anak-anak.
Ibu bapa yang tidak mempedulikan masa senggang bersama anak-anak kerana kesibukan kerja boleh mendorong anak mereka untuk menghabiskan masa di luar rumah. Apabila terlalu banyak menghabiskan masa di luar rumah tanpa kawalan, ia menjadi punca kepada kewujudan masalah sosial yang lain. Mereka akan terpengaruh dengan ajakan teman yang melakukan kegiatan tidak berfaedah. Terlampau mempercayai anak dan memberikan kemewahan berlebihan juga boleh menjadi penyebab kepada hiburan di luar kawalan di kalangan remaja.
KESAN HIBURAN MELAMPAU
Hiburan luar dalam apa kegiatan sekalipun ia akan memberikan kesan kepada tingkah laku, amalan atau tindak tanduk manusia. Remaja tidak terkecuali. Hiburan luar yang tidak terkawal, menyimpang daripada roh dan semangat Islam, misalnya hubungan bebas berlainan jantina akan membawa kepada permasalahan lain. Keseronokan tanpa noktah memberi petanda buruk kepada aspek lain seperti kecemerlangan akademik, rasa hormat kepada ibu bapa, malah ia membawa remaja ke dalam alam yang penuh kepura-puraan.


0 comments:
Post a Comment