KEBERKATAN KETIKA MAKAN
Sebenarnya tanpa kita sebut, sebahagian daripada lazim kita lakukan setiap hari, bahkan dua tiga kali dalam sehari. Contoh yang terbaik ialah makan. Iya, makan! Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan malam; punya keberkatan dalam amalannya. Mari kita kaji beberapa amalan ketika makan yang memiliki keberkatan itu.
1) Menyukat Kadar Makanan
Apabila ke pasar, jangan membeli sesuka hati. Apabila hendak memasak, jangan ambil ikan, daging atau sayur dari peti sejuk sesuka hati. Apabila hendak makan, jangan mencedok sesuka hati. Sebaliknya, hendaklah disukat pada kadar atau jumlah yang berpatutan. Semua ini bukan sahaja kerana menjaga ekonomi, kesihatan, kelangsingan pinggang dan berat badan, tetapi juga kerana ingin mengambil berkat daripadanya. Rasulullah SAW berpesan: " Sukatlah makanan kalian, nescaya kalian akan diberkati." (Shahih al-Bukhari,no: 2128)
2) Berkumpul Apabila Makan
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): " Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillah), nescaya makanan kalian akan diberkati." [ Shahih Sunan Abu Daud, no 3764]. Oleh itu, makan bersama-sama, samada bersama ahli keluarga di rumah, rakan-rakan dalam bilik asrama, guru dan pensyarah di kafeteria kolej atau sahabat handai di restoran. Elakkan daripada makan bersendirian pada waktu yang berasingan kerana ia tidak diberkati.
3) Makan Dari Tepi Pinggan
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, no: 1805, Rasulullah SAW bersabda: " Keberkatan turun di bahagian tengah makanan, maka makanlah dari tepinya dan jangan dari tengahnya."
Apabila kita makan di pinggan, mulakan dari tepi, jangan di tengah. Apabila kita mencedok lauk, cedok yang tepi, bukan tengah. Jangan diusik yang tengah agar keberkatan dapat sentiasa turun dan mengalir kepada yang di tepi dan sekelilingnya. Apabila yang di tepi atau sekeliling pinggan sudah habis, barulah diambil yang tengah. Demikian adab makan yang bukan sahaja diberkati tetapi juga memiliki nilai etika yang mulia.
4) Melicinkan Pinggan
Bercakap tentang etika mulia ketika makan, ada yang memandang perbuatan melicinkan pinggan dan menjilat jari sesudah makan sebagai etika kurang baik. Di sini terdapat satu perkara penting yang perlu dibezakan, iaitu etika mulia atau buruk tidak ditentukan mengikut ukuran manusia, tetapi berdasarkan ukuran Islam. Merujuk kepada perbuatan melicinkan pinggan sesudah makan, ia adalah perbuatan yang diberkati Allah SWT kerana Rasulullah SAW telah menyuruh untuk melakukannya dengan alasan: ".......kerana kalian tidak tahu makanan di bahagian mana yang diberkati." [Shahih Muslim, no: 2033]
Justeru, sekali pun kita mula makan diri yang tepi dan berakhir dengan yang tengah, akan tetap ada makanan yang tersisa di sana-sini. Hendaklah dilicinkan yang tersia tersebut. Di sini tidak timbul persoalan " sudah kenyang" atau " tak larat nak habiskan semua" kerana sejak awal kita telah menyukat kadar makanan yang diletak di atas pinggan.
5) Menjilat Jari
Keberkatan bukan sahaja dengan melicinkan pinggan tetapi juga dengan menjilat jari. Termasuk dalam keberkatan ini ialah menjilat apa saja alat yang digunakan untuk makan seperti sudu, garpu, pisau dan sepit makan. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu bahagian jari manakah keberkatan itu berada." [Shahih Muslim, no: 2035]
Demikian lima amalan sebelum, semasa dan selepas makan yang boleh diambil berkat darinya. Jangan lupa untuk menyukat kadar makanan yang diambil, duduk makan bersama-sama, mendahului dengan bacaan Bismillah, bermula dengan yang tepi, berakhir dengan yang tengah, licinkan pinggan dan jilatlah jari.


0 comments:
Post a Comment