Sunday, September 6, 2009

Isu Akidah Islam

HIBURAN LUAR: ANCAM JATI DIRI REMAJA?
Menyentuh isu remaja banyak perkara yang boleh diutarakan. Topik ini sering menjadi pilihan kerana merekalah yang bakal menjadi pelapis negara. Segala tingkah laku menjadi perhatian. Antara yang menarik perhatian ialah hiburan di kalangan remaja. Remaja dan hiburan amat berkait rapat. Tidak 'lengkap rasanya aktiviti di luar jika tiada hiburan. Pengaruhnya kuat sehinggakan ada yang sanggup menghabiskan masa sehari suntuk di pusat hiburan. Ada juga yang tidak kisah untuk berdiri berjam-jam lamanya demi menyaksikan konsert artis pujaan.
Senario ini semakin mendapat perhatian, banyak pandangan dan pendapat yang dikeluarkan di akhbar-akhbar utama membincangkan kesan hiburan ini kepada jati diri remaja. Adakah jati diri seorang remaja Melayu terhakis disebabkan oleh pengaruh hiburan yang melampau?
Dalam Islam, tidak salah untk berhibur kerana Islam sendiri tidak pernah menolak kehadiran unsur hiburan dalam masyarakat. Malahan, pada zaman nabi wujud unsur-unsur hiburan dalam majlis keramaian atau perkahwinan. Bezanya, pada waktu itu, unsur hiburan mempunyai batasan dan sempadan. Baginda Rasulullah SAW sendiri bertindak sebagai lembaga penapisan dan penilaian seni agar unsur hiburan itu tidak seleweng daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Hiburan luar di kalangan remaja adalah satu kegiatan semata-mata untuk berhibur, berseronok atau bergembira di luar pengaruh atau kawalan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa mungkin memberikan keizinan untuk mereka melakukan kegiatan di luar, tetapi ia dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan tanpa kawalan oleh mereka yang bertanggungjawab.
Hiburan yang mengancam jati diri remaja ialah kesemua hiburan yang bercanggah dengan agama. Hiburan yang melalaikan. Hiburan yang membenarkan perhubungan tanpa batasan dan tanpa kawalan. Ia menghilangkan sifat-sifat Melayu yang sepatutnya.
Remaja seharusnya tahu menghormati orang tua, bersopan-santun, berani, beradab, lemah lembut dan tahu asal-usulnya. Seluruh kehidupannya berpaksi kepada ajaran Islam.
Melihatkan kepada apa yang berlaku kini walaupun tidak semua, tetapi ada yang telah kehilangan jati diri remaja yang sebenar. Banyak faktor yang membentuk suasana ini. Tetapi antara puncanya ialah hiburan yang melampau, tiada batasan dan sekatan.
PUNCA PENGARUH HIBURAN
Tingkah laku remaja ini didorong oleh beberapa sebab. Antaranya ialah kesunyian. Kesunyian mendorong remaja menghabiskan masa di luar rumah. Ini berlaku kepada keluarga yang mempunyai ibu bapa yang terlalu menumpukan perhatian kepada pekerjaan sehingga mengabaikan masa bersama anak-anak.
Ibu bapa yang tidak mempedulikan masa senggang bersama anak-anak kerana kesibukan kerja boleh mendorong anak mereka untuk menghabiskan masa di luar rumah. Apabila terlalu banyak menghabiskan masa di luar rumah tanpa kawalan, ia menjadi punca kepada kewujudan masalah sosial yang lain. Mereka akan terpengaruh dengan ajakan teman yang melakukan kegiatan tidak berfaedah. Terlampau mempercayai anak dan memberikan kemewahan berlebihan juga boleh menjadi penyebab kepada hiburan di luar kawalan di kalangan remaja.
KESAN HIBURAN MELAMPAU
Hiburan luar dalam apa kegiatan sekalipun ia akan memberikan kesan kepada tingkah laku, amalan atau tindak tanduk manusia. Remaja tidak terkecuali. Hiburan luar yang tidak terkawal, menyimpang daripada roh dan semangat Islam, misalnya hubungan bebas berlainan jantina akan membawa kepada permasalahan lain. Keseronokan tanpa noktah memberi petanda buruk kepada aspek lain seperti kecemerlangan akademik, rasa hormat kepada ibu bapa, malah ia membawa remaja ke dalam alam yang penuh kepura-puraan.

Saturday, September 5, 2009

KEBERKATAN KETIKA MAKAN
Sebenarnya tanpa kita sebut, sebahagian daripada lazim kita lakukan setiap hari, bahkan dua tiga kali dalam sehari. Contoh yang terbaik ialah makan. Iya, makan! Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan malam; punya keberkatan dalam amalannya. Mari kita kaji beberapa amalan ketika makan yang memiliki keberkatan itu.
1) Menyukat Kadar Makanan
Apabila ke pasar, jangan membeli sesuka hati. Apabila hendak memasak, jangan ambil ikan, daging atau sayur dari peti sejuk sesuka hati. Apabila hendak makan, jangan mencedok sesuka hati. Sebaliknya, hendaklah disukat pada kadar atau jumlah yang berpatutan. Semua ini bukan sahaja kerana menjaga ekonomi, kesihatan, kelangsingan pinggang dan berat badan, tetapi juga kerana ingin mengambil berkat daripadanya. Rasulullah SAW berpesan: " Sukatlah makanan kalian, nescaya kalian akan diberkati." (Shahih al-Bukhari,no: 2128)
2) Berkumpul Apabila Makan
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): " Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillah), nescaya makanan kalian akan diberkati." [ Shahih Sunan Abu Daud, no 3764]. Oleh itu, makan bersama-sama, samada bersama ahli keluarga di rumah, rakan-rakan dalam bilik asrama, guru dan pensyarah di kafeteria kolej atau sahabat handai di restoran. Elakkan daripada makan bersendirian pada waktu yang berasingan kerana ia tidak diberkati.
3) Makan Dari Tepi Pinggan
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, no: 1805, Rasulullah SAW bersabda: " Keberkatan turun di bahagian tengah makanan, maka makanlah dari tepinya dan jangan dari tengahnya."
Apabila kita makan di pinggan, mulakan dari tepi, jangan di tengah. Apabila kita mencedok lauk, cedok yang tepi, bukan tengah. Jangan diusik yang tengah agar keberkatan dapat sentiasa turun dan mengalir kepada yang di tepi dan sekelilingnya. Apabila yang di tepi atau sekeliling pinggan sudah habis, barulah diambil yang tengah. Demikian adab makan yang bukan sahaja diberkati tetapi juga memiliki nilai etika yang mulia.
4) Melicinkan Pinggan
Bercakap tentang etika mulia ketika makan, ada yang memandang perbuatan melicinkan pinggan dan menjilat jari sesudah makan sebagai etika kurang baik. Di sini terdapat satu perkara penting yang perlu dibezakan, iaitu etika mulia atau buruk tidak ditentukan mengikut ukuran manusia, tetapi berdasarkan ukuran Islam. Merujuk kepada perbuatan melicinkan pinggan sesudah makan, ia adalah perbuatan yang diberkati Allah SWT kerana Rasulullah SAW telah menyuruh untuk melakukannya dengan alasan: ".......kerana kalian tidak tahu makanan di bahagian mana yang diberkati." [Shahih Muslim, no: 2033]
Justeru, sekali pun kita mula makan diri yang tepi dan berakhir dengan yang tengah, akan tetap ada makanan yang tersisa di sana-sini. Hendaklah dilicinkan yang tersia tersebut. Di sini tidak timbul persoalan " sudah kenyang" atau " tak larat nak habiskan semua" kerana sejak awal kita telah menyukat kadar makanan yang diletak di atas pinggan.
5) Menjilat Jari
Keberkatan bukan sahaja dengan melicinkan pinggan tetapi juga dengan menjilat jari. Termasuk dalam keberkatan ini ialah menjilat apa saja alat yang digunakan untuk makan seperti sudu, garpu, pisau dan sepit makan. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu bahagian jari manakah keberkatan itu berada." [Shahih Muslim, no: 2035]
Demikian lima amalan sebelum, semasa dan selepas makan yang boleh diambil berkat darinya. Jangan lupa untuk menyukat kadar makanan yang diambil, duduk makan bersama-sama, mendahului dengan bacaan Bismillah, bermula dengan yang tepi, berakhir dengan yang tengah, licinkan pinggan dan jilatlah jari.

Friday, September 4, 2009

Doa-Doa Pilihan











Isu Pendidikan Anak

Didik Anak Cara Lukman Al-Hakim

Anak merupakan amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Justeru itu, segala yang bersangkut-paut dengan kehidupan anak-anak, sama ada akidah, perangai, pendidikan, kesejahteraan, sahsiah dan segala keperluan hidup mereka wajib diberi perhatian dan ditunaikan dengan sebaik-baiknya.

Dalam al-Quran, terdapat banyak nasihat seperti kisah Lukman Al-Hakim dalam mendidik anak-anaknya. Ia sangat baik untuk dijadikan panduan bagi semua umat Islam dalam mendidik anak-anak. Antara nasihatnya:

1) Wajib menyembah Allah dan tidak melakukan syirik. Firman Allah yang bermaksud ; " Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." ( Surah Lukman: 13)

Penerapan nilai-nilai tauhid ke dalam jiwa anak merupakan asas akidah Islam yang amat penting. Dan sudah semestinya kita berpegang kepada akidah yang betul agar sentiasa berada dalam keredaan-Nya. Selain itu ia juga mampu membersihkan jiwa kita daripada mengikut hawa nafsu, sentiasa beristiqamah serta mengukuhkan iman apabila menempuh cabaran hidup di dunia.

2) Wajib berbuat baik terhadap kedua ibu dan bapa. Firman Allah yang bermaksud, "....hendaklah engkau baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekali pun perkataan ' ah!' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun."

3) Sentiasa mengingatkan anaknya, bahawa segala perbuatan baik atau jahat akan mendapat balasan daripada Allah. Sebagaimana maksud ayat ini;
"....sesungguhnya jika ada sesuatu perkara yang baik atau yang buruk, sekali pun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah untuk dihakimi dan dibalasnya, kerana sesungguhnya Allah maha halus pengetahuannya lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi." ( Surah Lukman: 16)

Dalam mendidik anak agar berbuat baik, hendaklah ditekankan supaya dilakukan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Bukan menunjuk-nunjuk untuk mendapatkan pujian, ganjaran dan sebagainya.

4) Kewajipan mendirikan sembahyang kerana dalam sembahyang terhimpun segala-galanya seperti akidah, syariat dan akhlak. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar." ( Surah Al-Ankabut; 45)

5) Jangan bersikap sombong dan membangga diri. Sungguhnya tiada apa yang perlu dibanggakan dalam kehidupan ini kerana kehidupan di dunia ini tidak akan kekal abadi. Antara tanda-tanda sifat sombong itu ialah apabila merasa bangga dengan kelebihan diri, tidak mengindahkan nasihat dan membantah teguran orang lain walaupun dirinya bersalah.

Ibu bapa hendaklah sedar bahawa diri mereka adalah contoh teladan kepada anak-anak. Jika buruk kelakuan dan akhlak ibu bapa, maka buruklah kelakuan dan akhlak anak-anak. Setelah berazam dan berusaha melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah ini, maka barulah ibu bapa boleh berserah dan bertawakal kepada Allah.

Tidak dinafikan, peredaran masa kini menyaksikan situasi di sekeliling menjadikan anak-anak mudah bertukar keperibadian. Anak-anak yang sejak awalnya merupakan anak yang baik tingkah lakunya, bijak dalam akademik serta mempunyai latar belakang keluarga yang baik, akhirnya bertukar menjadi liar, enggan mendengar nasihat dan begitu cenderung kepada perkara-perkara negatif.

Perkara ini sudah tentu menjadi cabaran besar dan memberi tekanan yang bukan sedikit kepada para ibu bapa. Bagi mereka yang iman tidak begitu kukuh dan ditambah pula tidak mendapat sokongan daripada pasangan masing-masing menjadi semakin ramai ibu bapa yang menghadapi tekanan emosi.