Wednesday, October 14, 2009

Isu Akidah Islam

Ajaran Sesat & Penyelewengan Akidah

Ajaran sesat boleh didefinisikan dengan apa jua ajaran yang lari dari kebenaran Islam. Sesuatu perkara dianggap sebagai kebenaran apabila ia timbul dari sumbernya yang diiktiraf oleh Islam, iaitu al Quran dan Sunnah. Allah taala berfirman yang bermaksud;
“Dan sesiapa yang bermaksiat terhadap Allah dan RasulNya maka ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” (Al-Ahzab: 36)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Barangsiapa mengada-adakan dalam urusan agama kami ini suatu pekerjaan yang bukan daripadanya (agama) maka (yang diada-adakan) itu tertolak” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ajaran sesat yang berleluasa pula di hari ini sebenarnya ialah ideologi-ideologi manusia yang meresap ke pemikiran umat Islam masa kini yang mengakibatkan kekaburan terhadap tasawur Islam dan pengenalannya. Begitu juga dengan teori-teori ilmiah yang meresap ke pelbagai disiplin ilmu melalui kajian akademik yang kemudiannya dianuti oleh umat Islam tanpa disedari. Contoh yang jelas ialah sekularisme, materialisme, liberalisme dan gerakan yang memperjuangkan kebebasan mutlak wanita.


Penyelewengan akidah yang lebih bahaya dan berleluasa di dalam masyarakat hari ini ialah terletak kepada pelanggaran dan peninggalan tuntutan dan konsep dua kalimah syahadah yang merupakan batas pemisah antara iman dan kufur yang boleh merosakkan akidah seseorang. Hakikat bahawa dua kalimah syahadah mempunyai tuntutan yang perlu dipenuhi adalah satu perkara yang tidak diketahui umum. Oleh itu pelanggarannya selalu tidak disedari apatah lagi ia selalu berlaku secara tidak langsung. Persoalan akidah sebenarnya adalah persoalan prinsip dan penting. Oleh itu penyelewengan akidah dalam bentuk apa pun, langsung atau tidak langsung, adalah bahaya kerana ia menentukan kejayaan di akhirat kelak.

0 comments: