Saturday, October 10, 2009

Isu Pembinaan Keluarga Islam

Rumahku Syurgaku

Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan keluarga yang bahagia.

1) Menghidupkan sembahyang berjemaah bersama keluarga
Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara istiqamah, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. Untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.

2) Membaca al-Quran bersama di rumah
Membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian. Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.

3) Membaca buku agama di rumah bersama keluarga
Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain. Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka.

4) Makan bersama sekeluarga
Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga.

5) Memberi salam semasa masuk atau meninggalkan rumah
Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh.
Secara kesimpulannya, 'Rumahku Syurgaku' adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: