Friday, October 9, 2009

Isu Pendidikan Anak-Anak

Memberi Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan Yang Sempurna

Setiap ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan agama supaya anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh. Ibu bapa perlu menjaga diri anak-anak dari perkara yang boleh merosakkan dirinya samada dari segi pemikiran dan fizikal. Penekanan kepada pendidikan agama harus diberikan perhatian yang serius dalam pembentukan sahsiah mereka. Islam telah menggariskan panduan dalam mendidik anak-anak. Antaranya ialah:

1) Mengajar mengenali sifat-sifat ketuhanan
Islam menyuruh ibubapa mengajar kanak-kanak supaya mengenali sifat-sifat ketuhanan. Ia merupakan pendidikan awal dan asas dalam pembentukan pemikiran kanak-kanak dan pembinaan akidah yang mantap sejak kecil lagi. Sifat wajib yang dua puluh tersebut mestilah diajar dengan kefahaman yang mendalam. Kanak-kanak telah dilahirkan dalam keadaan fitrah putih bersih, ibubapalah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam membentuk identiti agamanya.

2) Mengajar cara-cara sembahyang
Ibubapa wajib mendidik anak-anaknya cara sembahyang sejak kecil lagi. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “ Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka ketika berusia sepuluh tahun dan asingkan antara mereka tempat tidur.”

3) Mengajar ilmu pengetahuan
Ibubapa bertanggungjawab mendidik serta memberi pendidikan ilmu pengetahuan yang baik kepada anak-anak. Ibubapa perlu menyemaikan minat untuk mereka membaca buku dan cintakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini meliputi segala ilmu yang bermanfaat kepada mereka dalam menghadapi cabaran hidup. Pada zaman sekarang, ilmu-ilmu multimedia, sains dan teknologi perlu dikuasai oleh mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

4) Mengajar Al-Quran
Rasulullah s.a.w. sangat menekankan kepada ibubapa agar mengajar al-Quran kepada anak-anak. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani yang bermaksud: “ Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara iaitu cintakan Nabi kamu, cintakan keluarga Nabi kamu dan mengajar al-Quran kerana orang yang mendampingi al-Quran akan dinaungi oleh ‘arash Allah pada hari yang tidak ada naungan selain darinya bersama para Nabi dan pembantunya.”

5) Mendidik mengenali dan mencintai kejadian alam
Ibubapa seharusnya mendidik anak-anak supaya mengenali kejadian alam ini serta mengambil iktibar daripadanya. Manusia perlu memahami hubungannya dengan alam sekeliling yang telah dijadikan oleh Allah untuk manfaat manusia.

6) Mendidik dengan akhlak yang mulia
Setiap ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang mulia seperti bersifat amanah, jujur, ikhlas, menghormati orang tua, menunaikan janji, bercakap benar, beradab ketika makan dan minum, memilih makanan yang halal, suka kepada perbuatan kebajikan dan makruf, sentiasa mencari kebenaran dan keadilan, benci sifat keji, kezaliman dan kerosakan harta benda. Islam juga menyeru ibubapa supaya mengajar anak-anak meminta izin sebelum memasuki bilik ibubapa dalam waktu-waktu yang tertentu. Selain dari itu, ibubapa haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

7) Pembentukan tubuh badan yang sihat dan kuat
Islam menggalakkan kanak-kanak dilatih sejak kecil lagi dengan latihan jasmani supaya kanak-kanak tersebut menjadi sihat dan kuat. Pepatah Arab ada menyebutkan: “Akal yang baik lahir dari tubuh badan yang sihat.”

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.