Thursday, October 8, 2009

Isu Penghayatan Islam

Sabar Dapat Membentuk Akhlak & Peribadi Yang Tinggi

Sifat sabar telah disarankan oleh syariat dengan tujuan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berperibadi yang tinggi. Dengan itu, setiap muslim dan muslimah sentiasa berdoa untuk mendapat hidayah bagi melatih diri untuk mencapai tahap kesabaran yang tinggi.

Menurut syariat Islam orang yang gagah perkasa bukanlah orang yang mempunyai kekuatan lahiriah sehingga mampu mengalah setiap lawannya. Sebenarnya, orang yang gagah itu ialah orang yang dapat menahan dirinya daripada kemarahan dan bertindak dengan penuh pertimbangan dan kesabaran serta mampu menimbangkan nafsu ketika marah sabda Rasulullah s.a.w:
“ Bukanlah kekuatan itu ketika menang dalam pertarungan. Sesungguhnya kekuatan yang sebenar dapat mengawal diri daripada tindakan marah yang melampaui batas”.

Berdasarkan hadis di atas dapat difahamkan bahawa iman yang teguh dapat membuahkan sifat sabar dan ketetapan hati yang membawa seseorang itu kepada kemenangan. Sifat sabar ini sangat tinggi nilainya. Harga diri manusia tidak sahaja ditinjau dari sudut akidah dan keimanan tetapi juga dari sudut kemurniaan budi pekerti seseorang yang berlandaskan kesabaran. Sabar adalah penyuluh dan simbol yang dapat menyelamatkan peribadi dan jiwa seseorang daripada kebinasaan dan kehancuran.

Oleh yang demikian, apabila kehidupan seseorang mempunyai akhlak yang mengutamakan latarbelakang kehidupannya dengan sabar, maka ia menggambarkan perwatakannya baik dalam semua situasi kehidupan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Ia juga menampakkan jiwa yang tenang, tidak mudah melatah atau gelisah apabila ditimpa musibah. Itulah hikmah sabar, mengapa ia perlu diasuh dan diterap dalam setiap jiwa anak-anak sejak ia dilahirkan? Ringkas kata, bolehlah disimpulkan dengan maksudnya, orang penyabar tidak akan menjadi hangus oleh api yang sedang menjulang tinggi bahkan api akan terpadam dengan sendiri apabila ia berdepan dengan orang bersifat sabar. Itulah makna yang terkandung dalam kalimah sabar yang wajib ditanam dalam setiap jiwa insan yang beriman.


1 comments:

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan artikel tersebut bahawa orang yang memiliki sifat sabar dapat membentuk akhlak dan keperibadian muslim dan muslimah yang tinggi dan mulia. Sifat sabar amat dituntut dalam Islam. Banyak kebaikan diperoleh oleh mereka yang bersabar. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan amalan hamba-Nya yang bersabar dengan memberi ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat.