Saturday, October 10, 2009

Isu Politik Islam

Wanita Islam sebagai calon pilihan raya?
Penulisan mengenai penglibatan wanita Islam dalam dunia politik telah menjadi perbahasan oleh banyak pihak. Namun terkadang masih meninggalkan pelbagai persoalan sehinggakan persoalan pokok itu sendiri masih tidak terjawab. Di samping terkadang wanita itu sendiri telah meletakkan dirinya dalam keadaan seadanya sedangkan setiap diri kita mempunyai pelbagai potensi, bakat, kebolehan, kemahiran, kepakaran yang boleh dibangunkan termasuk sebagai ahli politik yang berkaliber.

Sesungguhnya Islam telah mengakui hak-hak wanita dalam bentuk hak-hak diri (perseorangan) yang sempurna dan hak-hak ketamadunan yang sempurna; demikian juga hak-hak berpolitik yang sempurna. Penglibatan wanita Islam sebagai calon pilihan raya atau wakil rakyat di parlimen adalah menepati asas maslahah ammah (ummah). Sebabnya, melalui kedudukan itu mereka dapat mewakili wanita Islam untuk mengemukakan pandangan-pandangan bernas bagi mempertahankan Islam dan menghindarkan urusan kewanitaan dimonopoli oleh wanita sekular yang prejudis terhadap Islam.

Ini apabila telah disebutkan sebaik-baik secantik-cantik perhiasan ialah wanita yang solehah. Jadi bayangkan sahaja wanita yang soleh itu mampu menjadi wakil dan berkhidmat untuk rakyat. Yang penting wanita itu menjaga batas-batas syariat dengan berpakaian sopan (menutup aurat), mendapat keizinan suami atau wali, tidak bertabarruj, serius dalam bicara, bermusafir dengan mahram dan sebagainya. Zaman telah berubah, akibat Islam amat menekankan soal pendidikan dengan kalangan wanita tidak sahaja diajarkan soal menganyam atau menenun hatta sehingga kepelbagaian bidang ilmu dan profesionalisme maka lahirlah wanita-wanita yang perkasa ilmunya. Lantaran kerana tingginya ilmu, mereka mampu menguruskan emosi dan perasaan kecuali mahukan yang terbaik untuk dinikmati untuk rakyat. Jika ada wanita Islam yang berkemampuan, mengapa tidak sahaja kebijaksanaan mereka ini kita gunakan.
Sumber : Buku wanita sebagai calon pilihan raya - Suatu perbahasan dari sudut siyasah syariyyah

0 comments: