Friday, October 9, 2009

Isu Negara Islam

MALAYSIA NEGARA SEKULAR ?
Terdapat di kalangan umat Islam di Malaysia yang menganggap Malaysia sebagai negara sekular. Oleh itu eloklah difahami terlebih dahulu apakah erti sekular. Perkataan ‘sekular’ berasal daripada perkataan Latin seaculum yang bermakna ‘alam ini’ atau ‘dunia ini’. Gerakan fahaman sekularisma bermula pada pertengahan abad ke 19 di England yang diasaskan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906). Golongan ini hanya mementingkan kebajikan manusia di dunia dan menafikan kewujudan alam akhirat.
Dalam suasana sedemikian, sekularisma telah dipersepsikan menerusi ciri-ciri berikut;

· Menolak kepercayaan adanya Tuhan. Segalanya berpusat pada alam ini.
· Menolak kepercayaan adanya hari akhirat dan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan selepas mati.
· Agama dan dunia terpisah secara total.

Apa yang sedang diamalkan oleh negara Malaysia hari ini ialah berusaha menjaga kebajikan umat Islam dan memartabatkan agama Islam serta tidak lupa tanggungjawab kepada rakyat bukan Islam. Tanggungjawab sedemikian adalah sebahagian suruhan Islam.
Kerajaan juga telah berusaha memantapkan akidah, memajukan syariah dan mempertinggikan akhlak umat. Dengan pelaksanaan tugas-tugas tersebut, keadaan dan keraguan serta kekeliruan umat Islam di negara ini adalah tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang faedah. Status negara Malaysia sebagai negara Islam tidak boleh lagi dipertikaikan, sebaliknya adalah lebih baik menerima realiti yang ada dan berusaha memperkuat serta memperbaiki lagi mana-mana kelemahan dan kekurangan jika ada.
Oleh yang demikian, Malaysia adalah sebuah negara Islam di mana ia menepati dengan definisi yang diperkatakan oleh ulama masa kini dan terdahulu. Tugas kita sekarang ini adalah untuk mengisi dan memantapkan lagi apa-apa yang perlu diperkemaskan dan tidak lagi menghabiskan masa mempertikaikannya kerana telah jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang terbukti dari segi sejarah, perundangan, pembangunan dan penghayatan Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: