Saturday, October 10, 2009

Isu Undang-Undang Islam

Hak hadanah

Prinsip umum pertama ialah jika pasangan itu bercerai atau perkahwinan itu terbatal, maka hak hadanah adalah pada ibu. Mengapa? Kerana ibu lebih mengetahui mengenai keperluan anaknya, lebih faham anaknya itu kerana bukankah dia yang mengandungkan dan melahirkan anaknya itu? Malah wanita juga lebih lemah lembut dan sensitif serta mudah mesra dengan anak-anak.

Ini jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr tentang seorang perempuan yang dicerai suami dan ada seorang anak. Suaminya hendakkan anak itu tetapi perempuan itu menemui Nabi dan berkata : ”Ya Rasulullah sesungguhnya anak ini perut akulah yang mengandungkannya, ribaankulah yang mengawasinya dan air susu akulah minumannya; bapanya hendak merebutnya dariku. Maka sabda Nabi Engkaulah yang lebih utama dan berhak menjaga anak itu selama mana engkau belum berkahwin” [Abu Daud].Maka hak hadanah kepada ibu itu berterusan hanyalah apabila anak itu belum mumayiz dan berterusan hinggalah ada alasan bagi menarik semula hak itu atau sehingga anak itu mampu memilih sama ada untuk memilih ibu atau bapa.

Prinsip kedua selain hak kepada ibu ialah kebajikan anak. Jika diberi hak hadanah kepada ibu tetapi tidak mampu untuk menjaga kebajikan anak yang lain maka matlamat hadanah tidak tercapai. Dalam hal ini ramai ulama’ dan ahli akademik serta para hakim syarie melihat daripada aspek maslahah dalam menentukannya. Imam Ghazali dalam Kitab al-Mustasfa mendefinisikan maslahah sebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


Hak penjagaan hilang
Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa hak penjagaan itu boleh hilang sekiranya mahkamah mendapati ibu itu tidak layak menjaganya atas alasan-alasan yang tertentu. Namun apa yang jelas, mahkamah dalam menentukan soal ini akan melihat kepada kebajikan anak itu yang perlu lebih diutamakan, Meskipun ibu paling layak, namun jika ia boleh membawa kemudaratan dan menjejaskan kebajikan anak, maka hak tersebut boleh hilang. Seksyen 84 menyatakan:“Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang-
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.”
Oleh itu, sekiranya telah sampai tempoh tersebut, mahkamah boleh memutuskan hak penjagaan itu bertukar kepada bapa tetapi perlulah dibuat satu permohonan kepada mahkamah. Maka mahkamah akan membenarkan anak tersebut untuk melakukan “khiyar” iaitu pemilihan. Anak yang sudah sampai tempoh mumayyiz itu akan diberi hak untuk memilih samaada bapa atau ibunya. Seksyen 85 ada menyatakan:“Setelah tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya”
Sumber: //syariahlawinmalaysia.lefora.com

1 comments:

kiki said...

bagus lah.. ada nya blog mcm nie.bole bagi motivasi nanti..