Thursday, October 8, 2009

Isu Ilmu-Ilmu Islam

Siti Zubaidah Tokoh Pembangunan

Beliau seorang srikandi Islam yang cukup terkenal dari dulu sehingga kini. Beliau juga turut dikaitkan dengan terusan yang cukup penting dan popular serta menjadi nadi kepada umat Isalm, terutama yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji. Terusan yang dibina kira-kira 1400 tahun dahulu itu adalah hasil dari inisiatif seorang wanita hartawan, Siti Zubaidah binti Jaafar. Jasanya terutama dalam pembangunan infrastruktur di zaman kerajaan Abasiah. Terusan tersebut menjadi nadi penting masa itu.

Kisah wanita ini amat menarik untuk ditatapi oleh pembaca, bukan kerana beliau isteri Khalifah Harun Al-Rashid, tetapi dikagumi kerana kepintaran dan wawasannya membina kemudahan infrastruktur negara. Perkahwinan Siti Zubaidah dan Khalifah Harun diadakan secara besar-besaran semasa pemerintahan Al-Mahadi, ayahanda kepada Khalifah Harun. Rakyat jelata dan fakir miskin dihidangkan dengan pelbagai hidangan lazat serta diberikan pelbagai hadiah istimewa di majlis itu. Khalifah Harun yang pada masa itu belum dilantik sebagai khalifah sanggup membelanjakan banyak wang untuk meraikan petkahwinannya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja kerana terlalu gembira berjaya memiliki wanita idaman.

Bijak menguruskan rumah tangga

Siti Zubaidah seorang wanita yang pintar dan berpandangan luas. Justeru pendapatnya sentiasa diterima dan dihormati. Selain itu, beliau juga berbakat dalam bidang seni terutama sajak dan syair berunsur perjuangan, puji-pujian kepada Tuhan, selawat ke atas Nabi dan sebagainya. Aktiviti seni dan budaya menjadi sebahagian daripada darah dagingnya. Dia juga mempunyai dan memimpin unit kebudayaan di bawah pimpinannya.

Selain itu beliau juga isteri yang memahami tugas dan tanggungjawab suami sebagai pejuang Islam. Untuk itu beliau sentiasa berjalan seiring dengan perjuangan suami kerana menyedari tenaga wanita sepertinya turut diperlukan dalam perkembangan negara Islam.

Beliau juga sedar bahawa tugas sebagai pemimpin bukan satu tugas yang mudah dan tugas isteri jua bukan sekadar ibu rumah tangga, tetapi mendampingi, memberikan buah fikiran dan membantu tugas-tugas suami terutama dalam meningkat imej negara dan agama Islam.

Bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar, Siti Zubaidah begitu berhati-hati mengatur hidupnya menguruskan rumah tangga dan menghibur suami serta anak-anak yang bakal dilahirkan. Beliau sedar sebagai isteri Khalifah, beliau perlu cepat bertindak dan bijak membuat keputusan, berwaspada dalam semua keadaan, membatasi diri dengan hukum-hukum syarak serta berkorban apa sahaja untuk suami walaupun terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri. Yang penting baginya biarlah suami mendapat layanan terbaik dan istimewa serta sentiasa dilimpahi kegembiraan.

Walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, tetapi wanita ini sentiasa memastikan beliau tidak termakan dengan pujukan syaitan. Beliau beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. Keindahan dan kemanisan itulah yang dicari.
Pencetus Idea Pembangunan

Idea untuk membina terusan tersebut terdetik apabila mendapat tahu bahawa penduduk di Mekah menghadapi masalah kekurangan air ketika mengerjakan haji pada tahun 186 hijrah. Melihat keadaan itu, beliau mengarahkan semua arkitek dan pekerja terusan walaupun terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar.

Mereka memulakan kerja-kerja tersebut dengan menyambungkan mata air dari gunung-gunung di sekitar Mekah. Projek ini menelan belanja 1,700,000 dinar. Ia masih boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang melalui jalan di antara Mekah dan Mina. Selain itu beliau juga memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Mekah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai yang datang ke mekah berehat.

Selain itu di Baghdad juga terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan masjid Siti Zubaidah kerana beliau yang bertanggungjawab membinanya. Khalifah Harun Al-Rashid amat gembira dan berasa bertuah kerana mempunyai isteri yang cantik dan bijak. Pasangan ini sering berbincang dan bertukar pandangan. Pendapat Siti Zubaidah selalu tepat dan sesuai untuk pembangunan semua golongan.

0 comments: